Jumaat, 7 Disember 2012

Apakah Perbezaan Antara Seseorang Usahawan dan Orang Makan Gaji ?





Minggu lepas saya menulis sebuah artikel yang menimbulkan perdebatan dan kontroversi.


Artikelnya bertajuk Apakah Perbezaan Makan Gaji dan Menjadi Hamba ?


Walaupun fakta dalam artikel ini tidak disanggah oleh sesiapa namun ramai mereka yang makan gaji tidak dapat menerima apabila status mereka dibandingkan dengan hamba pada zaman dahulu.


Segala perdebatan ini mengingatkan saya kepada sebuah kisah mengenai sekumpulan kuda di sebuah ladang yang aman permai.




Tiba-tiba pada satu hari, ribut taufan melanda dan semua kuda ini bertempiaran lari dalam kumpulan yang ramai sehingga mereka tiba di sebuah kawasan padang pasir yang luas.


Setibanya di sana mereka mendapati kawasan itu kering kontang tidak mempunyai air untuk diminum dan tidak ada rumput juga untuk dimakan.


Maka kuda-kuda ini mula berbincang sesama sendiri.


Sekumpulan kecil dari kuda-kuda ini mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan di padang pasir yang luas itu walaupun mereka tidak tahu samada mereka akan mendapat air atau rumput di hadapan.


Kumpulan kedua pula adalah kuda-kuda yang ragu-ragu untuk bergerak kerana mereka merasa tidak pasti dengan masa depan yang menanti.


Mungkin ada binatang buas di hadapan, mungkin mereka tidak akan jumpa air atau mungkin mereka akan mati dalam perjalanan.


Walaubagaimanapun, kuda kumpulan kedua ini mula bergerak mengikuti kuda kumpulan yang pertama setelah mereka lihat kuda kumpulan pertama sudah jauh dari situ. Jadi mereka mengikuti mereka dengan rasa selamat dan tidak mahu mengambil sebarang risiko.


Kuda kumpulan ketiga pula adalah kuda-kuda yang bersuara dan menentang tindakan kuda kumpulan pertama dan kedua. Selain itu, mereka juga sangat risaukan masa depan mereka.


Mereka pula bergosip dan membuat cerita sesama sendiri tentang bertapa teruknya keadaan kuda yang sudah bergerak. Mungkin mereka itu sudah mati dibaham singa.. mereka mungkin tidak menjumpai air dan rumput dan mungkin juga mereka telah mati kebuluran.


Setelah sekian lama, mereka mula menyedari bahawa mereka akan mati kebuluran di sini dan mereka pun mula bergerak ke arah kuda kumpulan 1 dan 2 tadi.


Kuda kumpulan pertama yang bergerak itu akhirnya tiba di satu kawasan di tengah-tengah padang pasir yang mempunyai sedikit air dan rumput. Mereka pun mula makan dan minum air yang ada.


Kemudian tiba kuda kumpulan yang kedua dan kali ini mereka terpaksa makan sisa-sisa rumput yang ada. Air yang ada pun sudah sedikit dan keroh. Namun mereka terpaksa makan juga.


Akhirnya sebahagian dari kuda kumpulan ketiga tiba di situ tetapi tidak ada lagi apa-apa untuk dimakan. Mereka mula berebut sesama sendiri.


Selain itu ramai antara mereka sebenarnya telah mati dalam perjalanan ke situ. Ini adalah kerana mereka telah menghabiskan waktu menunggu dan hanya bergosip dan mengumpat dalam tempoh yang sangat lama di satu tempat.


Cuba renung-renungkan cerita ini dengan diri anda, di kumpulan kuda yang manakah anda berada ?


Sekian, terima kasih


Shahabudeen Jalil


sumber http://www.shahabudeenjalil.com

Apakah Perbezaan Bekerja Makan Gaji dan Menjadi Hamba ?









Ramai antara kita berfikir mereka kini hidup di zaman yang bebas tanpa perhambaan. Adakah ini benar ?


Dalam artikel ini saya akan membawa anda melihat 500-1000 tahun sebelum ini sewaktu perhambaan masih wujud. Apakah situasi pada waktu itu dan kita akan cuba membuat perbandingannya dengan keadaan kita pada hari ini.


1. Pada zaman perhambaan, biasanya terdapat 3 tahap hamba yang dibela oleh seseorang tuan. Tahap yang pertama ialah hamba abdi yang paling hina. Mereka ini akan bekerja sepanjang hari sambil dipantau oleh seorang hamba yang bertindak untuk memastikan semua hamba abdi ini bekerja. Selepas dari itu barulah terdapat hamba-hamba yang menjadi ketua mereka ini semua.


Jika dikaji, ini sama seperti struktur syarikat pada hari ini. Jika dilihat di sebuah syarikat, terdapat pekerja yang bekerja sepanjang masa dan dipantau oleh seorang supervisor dan supervisor ini akan melaporkan kepada boss mereka iaitu pengurus-pengurus dalam syarikat tersebut.


2. Pada zaman dulu, Tuan punya hamba ini akan menyediakan minuman, makanan, tempat tinggal, pakaian dan pelbagai kemudahan lain kepada seseorang hamba. Sebagai timbal balas, hamba ini akan bekerja untuk majikan itu.


Pada zaman kini, boss anda akan menyediakan anda dengan gaji dan segala kemudahan pejabat. Dengan gaji bulanan ini anda memilih makanan, minuman, tempat tinggal, pakaian dan lain-lain untuk diri anda.


3. Tuan punya hamba akan memberikan cuti beberapa hari sebulan kepada hamba supaya hamba ini dapat rehat dan bekerja lebih kuat selepas itu. Sewaktu cuti ini, biasanya hamba ini akan menghabiskan masa berehat di rumah atau bersiar-siar. Dia perlu cukup rehat untuk sambung bekerja selepas itu.


Anda yang bekerja makan gaji, bekerja sepanjang hari minggu dan mendapat cuti sehari atau 2 hari di hujung minggu. Cuti ini biasanya digunakan untuk tidur sehingga tengahari atau meluangkan masa bersama isteri dan anak-anak.


4. Pada zaman dahulu, seorang Tuan hamba akan menghukum hamba ini dengan memukul atau membuang hamba ini dari jagaannya. Ini akan mengakibatkan hamba ini terkapai-kapai tanpa tempat bergantung. Hamba ini juga akan berusaha pergi ke pasar hamba untuk mendapatkan tuan yang baru. Tuan yang baru akan melihat apa yang boleh dilakukan oleh hamba ini sebelum bersetuju untuk mengambilnya sebagai hamba. Hamba yang berkualiti tinggi akan dijual dengan harga yang tinggi.


Ini samalah seperti zaman sekarang. Pekerja yang tidak bekerja dengan baik akan dihukum samada dimarahi atau dipotong gaji. Paling teruk, pekerja ini akan dipecat. Jika dipecat, pekerja ini akan pergi ke ‘pasar hamba moden’ seperti JobStreet untuk mencari pekerjaan. Pekerjaan ini akan memberikan anda tuan baru.


5. Pada zaman dahulu, tuan punya hamba akan sentiasa memberi motivasi kepada seseorang hamba supaya hamba itu akan bekerja keras sepanjang hari. Motivasi ini boleh jadi dalam bentuk memberi kata-kata semangat, makanan lebih baik, pakaian lebih baik ataupun hamba itu akan diberi kebenaran untuk berkahwin.


Pada zaman sekarang pun begitu sebenarnya. Majikan anda memberi anda motivasi, cuti tahunan yang lebih panjang, gaji yang lebih tinggi atau kupon bercuti atau makan di tempat yang mahal. Untuk berkahwin pun, anda perlu ada gaji yang cukup.


Cuba anda renung-renungkan.. adakah anda sedang bekerja atau anda sebenarnya adalah seorang hamba ?


Sekian, terima kasih


Shahabudeen Jalil

sumber http://www.shahabudeenjalil.com
webcam gif maker